April 19, 2010

AMAL S’wak Caw. Terbaik Dakwah & Kemanusiaan












AMAL Malaysia, Kpg Baru KL, 11 April 2010: Alhamdulillah! Yayasan Amal Malaysia (AMAL Malaysia) telah berjaya mengadakan Majlis Makan Malam AMAL sempena 1 dekad (10 tahun) usia organisasi AMAL Malaysia dan sekaligus pelancaran Penubuhan Pusat Dakwah Serantau (PDS) pada 11 April 2010 bersamaan 27 Rabi’ul Akhir 1431H bertempat di Hotel KL International, Kuala Lumpur.



Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan Pengacara Majlis dan diikuti persembahan nasyid dari kumpulan Shoutul AMAL yang didatangkan khas dari Terengganu. Selepas itu, majlis diteruskan dengan ucapan Presiden Yayasan AMAL Malaysia, Yang Berbahagia Tuan Haji Hussin Ismail. Beliau telah mengimbau kembali matlamat penubuhan Yayasan AMAL Malaysia 10 tahun yang lalu serta memperincikan matlamat perjuangan dakwah dan kebajikan serta pencapaian semasa yang berjaya diikhtiarkan.



Seterusnya, penjelasan mengenai penubuhan Pusat Dakwah Serantau (PDS) atau khusus untuk Borneo dikenali sebagai BISMIC (Borneo Islamic Centre) juga menjadi isi penting dalam ucapan Presiden AMAL Malaysia tersebut. Selain membentangkan perkembangan semasa pembinaan Kampus Sementara Pusat Latihan Dakwah PDS di Bangi Selangor, Presiden juga menyatakan berkenaan pengambilan kumpulan pertama pelajar yang dianggarkan berjumlah seramai 30 orang pada awal Jun 2010 ini. Pelajar tersebut adalah terdiri dari anak-anak Sabah dan Sarawak yang akan dilatih dengan pelbagai kemahiran berdakwah dan ilmu-ilmu penting berkaitan Islam. Di akhir ucapannya Presiden sempat melancarkan kutipan derma mengumpul dana bagi penubuhan Pusat Latihan Dakwah PDS.



Amanat daripada Penaung kemudiannya mengingatkan para hadirin bahawa dakwah hendaklah menjadi agenda penting bagi setiap individu Muslim kerana ia adalah antara warisan terpenting yang ditinggalkan para Nabi-nabi dan Rasul-rasul. Laman sesawang http://www.pusatdakwahserantau.org/ juga secara rasminya telah dilancarkan. Pusat Dakwah Serantau ini akan dibuka kepada orang ramai yang berminat untuk mengasah serta menimba ilmu dakwah khususnya di Malaysia.



Objektif Pusat Dakwah Serantau (PDS) adalah seperti berikut:



1. Mewujudkan hub dan pusat latihan dakwah dan muballigh masyarakat setempat dari Negara-negara Asean khususnya Borneo;

2. Menjadi pusat penyelidikan dan pembangunan (research and development (R&D)) bagi merangka dan melancar gerakan dakwah secara berstrategik dan berkesan;

3. Sebagai sebuah pusat latihan kepada pekerja-pekerja Islam dan pusat komuniti kepada masyarakat setempat.



Satu kenangan manis dibawa pulang bersama oleh Timbalan Pengerusi AMAL Sarawak, Ustaz Abdul Halim bin Abdul Kadir ketika sesi penyampaian anugerah diadakan ialah apabila AMAL Sarawak diumumkan menerima anugerah Cawangan Terbaik Dakwah dan Kemanusiaan di atas kesungguhan dan komitmen dalam menggerakkan dakwah ke kawasan-kawasan pedalaman di samping memperbanyakkan aktiviti-aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan. Anugerah ini merupakan anugerah kedua diterima oleh AMAL Sarawak selepas Anugerah Khas – Kreatif 2007-2009 pada Mesyuarat Agung Dwi-Tahunan AMAL Malaysia 2009.



Cawangan lain yang turut menerima anugerah ialah AMAL Pahang atas kesungguhan mereka menggerakkan kutipan sumbangan lembu korban dan inisiatif awal mereka menubuhkan AMAL Charity Shop Cawangan Pahang. Sementara itu, Pak Dr. Daeng Sanusi pula dipilih sebagai Tokoh Dakwah kerana komitmennya terhadap penubuhan Pusat Dakwah Serantau (PDS) - Borneo Islamic Center (BISMIC) serta kerja-kerja amal yang lain.



Berikut disertakan gambar-gambar kenangan program tersebut:

Ucapan dan Taklimat oleh Presiden AMAL Malaysia
Persembahan dari Kumpulan Nasyid Shoutul AMAL
Ust. Abd Halim bersama Anugerah yg dimenangi AMAL S’wak
Antara tetamu yang hadir ke Makan Malam AMAL Malaysia

0 ulasan:

Catat Ulasan

Design by Abdul Munir Visit Original Post Islamic2 Template