“Ustaz, cepat. Ada kes buli!” panggil penghulu.
Panik kami dibuatnya.
Ada kes buli pula. Sungguh mencabar apabila berpuluh-puluh remaja yang saling tidak mengenali dihimpunkan di satu tempat.
“Tapi ustaz jangan cakap kata saya report!” pinta peserta tersebut.
Beliau dilantik menjadi penghulu juga kerana ‘dibuli’ oleh peserta lain. Maklum sahaja, bagaimanakah seorang pelajar tingkatan 1 boleh menjadi penghulu kepada pelajar yang lebih tua? Tetapi malam itu beliau bertindak bijak. Lewat tengah malam, beliau senyap-senyap berlari ke bilik kami memaklumkan insiden ‘buli’ yang sedang berlaku di kalangan ‘anak buahnya’.
Kami tiba perlahan-lahan dan berselindung di balik dinding.
Memasang telinga sebelum membuat keputusan untuk bertindak sesuatu.
BENGANG
“Nko tahu tak, bapak aku hantar aku ke kem ni sebab nak bagi aku dengar ceramah ustaz. Bukannya nak dengar loyar buruk nko. Bengkek betullah aku!” kata salah seorang ‘pembuli’.
Kami yang berada di balik dinding tersenyum.
Baru faham apa isunya.
Selagi sidang tengah malam itu berlegar pada cakap-cakap, kami perhatikan sahaja. Jangan ada tangan atau kaki yang naik. Itu sempadannya.
“Tak habis-habis menyampuk. Ko nampak tak betapa sakitnya hati ustaz melayan perangai ko tu!” bentak seorang lagi.
Rakan yang berdiri di tengah-tengah bulatan itu hanya tunduk. Mungkin malam itu dia belajar sesuatu. Selama ini beliau menganggap kebijaksanaannya membuat lawak dan menyampuk cakap orang siang dan malam, pagi dan petang itu sebagai satu kelebihan dan cool. Rupa-rupanya dia syok sendiri dan orang lain menahan lahar kemarahan bagai gunung berapi.
MENDUGA SABAR
Tidak dinafikan.
Saya boleh bertahan dengan peserta yang bermuka masam, tidak responsif, malah tertidur.
Tetapi saya lelah melayan peserta yang loyar buruk, menyampuk percakapan dan bercakap benda-benda yang menyakitkan hati. Tidak mudah untuk mengawal suasana apabila Allah menghantar peserta sebegini ke dalam program kendalian kita.
Ya, Allah yang menghantarnya.
Itu pendirian saya.
Bagaimana sekali pun gelagat dan kelakuan peserta, saya menganggap mereka sebagai tetamu yang dihantar oleh Allah Subhanahu wa Ta’aala dan saya mesti kuat untuk menerimanya.
Hajat di hati mahu memanggil pelajar tersebut untuk berbincang. Sikapnya semenjak minit pertama program sungguh mengganggu konsentrasi saya dan peserta lain. Tetapi sebelum saya bertindak, peserta lain sudah terlebih dahulu hilang sabar mereka.
“Nko tak faham-faham lagi ke, ustaz dah hint tentang perangai ko tu?” marah seorang lagi peserta.
Ya, nampaknya peserta lain yang faham.
BERBISA DALAM BERSAHAJA
Ada kalanya tatkala peserta membuat perangai, saya pancarkan sahaja tembakan ‘lazer’ yang membuatkan orang sepertinya terdiam seketika.
“Hmm, inilah susahnya apabila perempuan aqil baligh lebih awal daripada lelaki. Yang perempuan dah macam emak-emak. Yang lelaki perangai macam budak-budak. Perempuan mana yang berani nak ambil orang macam kamu jadi suami ni?” itu ayat tahap amaran kuning saya.
Terdiam sekejap dia.
Tengah hari buat balik.
“Hah ustaz, skodeng ke?” tanya si loyar buruk itu dengan nada provokasi.
Saya sedang mengawal peserta berwudhu’ di pili yang terletak berhampiran dengan tandas.
“Skodeng ni kerja orang yang tak confident boleh kahwin. Lelaki lembik yang teringin nak kahwin tapi tak mampu. Dapat skodeng pun jadilah. Kamu kategori mana?” saya bertanya kepadanya.
Dia tersengih-sengih.
Saya menghampirinya dan bercakap perlahan.
“Tidak semua benda yang lawak itu lawak. Elok simpan dan keluarkan sekali sekala bila sesuai sahaja. Nanti banyak hilang kawan” saya berbisik perlahan kepadanya.
Masih mencuba.
Cuba untuk empati dan menahan marah dengan penuh sabar bagai sinar mentari.
SABAR ITU MATAHARI
Di dalam sepotong hadith yang panjang riwayat Muslim, Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam pernah bersabda:
“Dan sabar itu sinar seperti mentari”
Ulama merumuskan sabar itu diibaratkan seperti matahari kerana dua perkara.
Pertamanya, matahari itu sumber kehidupan. Sama seperti sabar yang menjadi sumber kepada kebaikan. Sabar dalam ibadat, sabar dalam taat, sabar menahan diri daripada maksiat, sabar dalam musibah dan sabar dalam nikmat, semua itu menjadi sumber untuk melimpahkan pelbagai kebaikan yang lain.
Sebab kedua, untuk sabar dan menghasilkan kebaikan seperti khasiat matahari, diri kita terbakar panas!
Itu yang saya rasakan.
Menahan diri untuk sabar bagi mencipta ruang dakwah adalah suatu kepedihan yang sukar untuk dibayangkan. Patutlah gunung tidak mampu melakukannya. Gunung tidak sabar untuk memuntahkan lahar. Tetapi manusia mampu menelan panas kemarahan dan mengeluarkan apa yang sepatutnya sahaja.
Sakitnya, Allah jua yang Maha Mengetahui.
Apabila berbicara tentang zina semasa berbahas soal cinta dan kehidupan, ada peserta yang jadi gatal dan miang hingga mengganggu peserta lain yang cuba memberikan konsentrasi.
“Wah, best gila dapat berzina. Masa berzina sedap, kemudian bila mengandung gugurkan anak dan sambung zina lagi. Kalau gagal gugurkan, lepas beranak buang sahaja budak itu di tangga masjid dan kemudian sambung zina lagi. Kalau rasa diri lebih teruk daripada binatang, buangkan sahaja ke tong sampah dan sambung lagi zina. Apa lagi yang boleh dilakukan ke atas manusia seperti ini kecuali dibakar api Neraka, bermula dengan dibakar hangus kemaluan yang puas menikmati sedap dunia dahulu!!!” saya mengangkat tinggi nada suara untuk menegaskan mesej.
Peserta terdiam.
Berubah sedikit muka sesetengahnya.
“Hebatnya Allah ialah, Dia tidak terus menghukum penzina biar pun 1000 kali dia berzina, jika dia memilih untuk bertaubat. Kamu bayangkan, betapa Allah sayang dengan manusia, hingga semasa tidak meminta pun diberikan-Nya penghapusan dosa. Sedekah, terhapus dosa, pergi masjid terhapus dosa, berwudhu’ terhapus dosa, memuliakan tetamu terhapus dosa. Akhirnya apabila setelah semua peluang itu diberikan pun masih ada yang dibakar api Neraka, kamu percayalah, tiada siapa pun yang akan mempertikaikan nasib orang itu di Neraka nanti kerana dia memang selayaknya di situ!” saya menyudahkan mesej anti zina yang dikongsi pagi tersebut.
Peserta diam dan sepi seketika.
“Saya nak bertaubatlah, ustaz!” tiba-tiba si loyar buruk itu mengangkat tangan dengan senyum kambingnya, melecehkan perbincangan kami dengan gurauan tidak bertempatnya itu.
Tersirap darah saya.
Semua peserta menoleh ke arahnya.
Saya hanya menggelengkan kepala.
Dan malam itu, beliau ‘dibasuh’ oleh semua peserta.
Kami di belakang dinding hanya memerhati. Alhamdulillah tidak sentuhan fizikal dan selepas sejam, Majlis Tahkim selesai.
Keesokan paginya, saya dan rakan fasilitator terpegun melihat perubahan pelajar tersebut. Mukanya monyok, langsung tidak berkata-kata dan hilang 100% loyar buruknya.
Saya tidak mahu memberi sebarang komen.
Terkenang kepada pengalaman salah seorang fasilitator kami yang menyesal apabila hilang sabar tertengking seorang anak muridnya yang terlalu tegar. Beliau dengan nada kesal bertanya, “kamu di rumah memang biasa kena tengking ke?”
Pelajar itu diam seketika.
“Tengking tak biasa, ustaz… terajang biasa le!” katanya jujur.
Tertelan air liur si guru dibuatnya.
Setiap perangai pelik yang ditunjukkan oleh seorang anak remaja, ia sering bermaksud menarik perhatian. Dan tatkala beliau bertindak keterlaluan menarik perhatian orang, tentu ada sesuatu yang tidak kena dalam hidupnya.
Tidak terkecuali pelajar ini.
Loyar buruknya tersingkap sebagai reaksi beliau kepada hidupnya yang penuh kesedihan.
“Saya bersyukur ustaz sebab kawan-kawan dalam program ni langsung tak sentuh saya. Mereka hanya marahkan saya sahaja. Kalau di tempat lain mungkin teruk saya kena belasah. Saya berjanji untuk berubah!” kata beliau di hujung pertemuan kami.
Saya tidak memberi sebarang komen.
Memeluk erat sebelum berpisah dan mata kami hanya berkaca-kaca mewakili kata.
3 hari 2 malam yang penuh ujian buat semua.
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG
Disember 29, 2009
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 ulasan:
Catat Ulasan