Februari 24, 2010

Kem Bina Sahsiah 2010: “Masih Ada Yang Sayang”


AMAL Sarawak, 10 Rabi’ul Awwal 1431H: Alhamdulillah. “Masih ada yang sayang”. Itu adalah ucapan yang sesuai untuk pelatih-pelatih di Pusat Serenti yang sekarang dikenali dengan Pusat Pemulihan Penagih Narkotik (PUSPEN). Walaupun sebesar mana kesalahan yang pernah dilakukan tetapi ingatlah bahawa Allah Maha Pengasih, Maha Penyayang dan Maha Pengampun. Atas dasar itulah pada 19 dan 20 Februari 2010 (Jumaat & Sabtu) yang lalu telah diadakan Kem Bina Sahsiah di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Kuching.



Program ini adalah anjuran Yayasan AMAL Malaysia Cawangan Sarawak Unit Kuching. Sasaran adalah pelatih fasa 2.3 dan 4 yang beragama Islam. Program bermula pada Jumaat malam dengan sesi pendaftaran pada pukul 8.30 malam. Selepas itu, peserta terus mengikuti sesi ice-breaking dan ta’aruf. Kemuncak aktiviti pada malam tersebut adalah sesi muhasabah diri yang dikendalikan oleh Ustaz Mohd Izwan b Yusof, Pensyarah Pusat Latihan Sarawak, JAKIM. Sesi ini tamat pada pukul 11.00 malam dan disudahi dengan penyampaian cenderahati daripada Ustaz Jamaluddin, Pegawai Agama PUSPEN.



Pada keesokannya, peserta berqiamullail seawal 3.30 pagi dengan diimamkan oleh Ustaz Tarmizi b Hussein Al-Hafiz, Imam 1 Masjid Ikhwanul Islam, Taman Sukma. Walaupun hujan lebat tetapi peserta dapat bangun awal untuk merintih dan bermunajat kepada Khaliq yang Maha Esa. Peserta telah mengerjakan solat sunat tahajjud, solat sunat taubat, solat sunat hajat dan solat sunat witir dengan bimbingan tuan imam jemputan.



Pada pukul 8.30 pagi 20 Februari 2010, peserta telah mendengar ceramah yang disampaikan oleh Hj Yasmin b Hasyim, Guru SMK St Teresa, Kuching. Ceramah ini berkisar tentang “Makna Kehidupan BerTuhan”. Peserta begitu teruja dengan gaya penyampaian tuan penceramah. Pengalaman berceramah selama 15 tahun dan kepetahan beliau dengan diselangi jenaka begitu memikat hati peserta. Semoga mesej yang disampaikan terkesan dan membawa perubahan dalam diri.



Selepas itu, peserta telah dibahagikan kepada kumpulan tujuh kecil untuk sesi LDK (Latihan Dalam Kumpulan). Peserta dibantu oleh fasilitator terlatih untuk memantapkan lagi tentang penguasaan Fardhu ‘Ain terutama persoalan solat kerana solat yang sempurna dapat mencegah seseorang itu daripada perkara keji dan mungkar. Fasilitator terdiri adalah daripada GPI (Guru Pendidikan Islam) dan guru J-QAF sekitar Kuching.



Majlis penutup telah diadakan pada 3.30 petang dengan penyampaian cenderahati kepada fasilitator dan diikuti dengan fasilitator dan pegawai PUSPEN bergambar kenang-kenangan. Selesai bergambar semua peserta dan fasilitator menunaikan Solat Asar Berjemaah. Program tamat dengan jamuan petang.



Semoga program ini telah memberi manfaat kepada semua peserta, urusetia dan fasilitator. Insya Allah, program seumpama ini akan diteruskan pada masa-masa akan datang. Yayasan AMAL Malaysia Cawangan Sarawak juga mengalu-alukan kepada mana-mana jabatan kerajaan dan NGO yang ingin bekerjasama dalam program-program sebegini. Mudad-mudahan usaha kita diberkati Allah SWT dan ada khairnya dunia dan Akhirat. Amiin.



Untuk keterangan lanjut program-program Yayasan AMAL Malaysia Cawangan Sarawak di Kuching pada masa akan datang, sila hubungi Saudara Mohd Nor (019-8574578), Saudara Abdul Aziz (019-8874784), Saudara Syamsul Bahri (019-9617951), Ustaz Afnan Faiz Ridzuan (013-3789411) atau layari laman web www.amalsarawak.net.



Wallahu a’lam bissawab.



TERAS BUDAYA AMAL:

» Beriman, Berilmu dan Ber’amal,
» Berakhlak Mulia,
» Berprinsip dan Berdisiplin Islam,
» Berkemahiran dan Berketrampilan.



“BERKHIDMAT UNTUK KEMANUSIAAN, BER’AMAL KERANA ALLAH”

0 ulasan:

Catat Ulasan

Design by Abdul Munir Visit Original Post Islamic2 Template